Rajagobal: PKNS pasukan penuh legasi, sejarah

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 46
Rajagobal: PKNS pasukan penuh legasi, sejarah
"PKNS FC tidak wajar dijadikan kelab pembangunan.”

Mungkin itu mesej yang cuba disampaikan ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, apabila menegaskan pasukannya adalah sebuah skuad yang kaya dengan sejarah, tradisi dan legasi dalam kancah bola sepak tempatan.

Isu PKNS bakal dijadikan kelab pembangunan atau 'feeder club' kembali hangat susulan wujud dakwaan menyatakan The Red Ants akan diturunkan pangkat ke Liga Perdana musim depan.

Spekulasi itu diperkuatkan dengan kenyataan terbaru Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengesahkan penstrukturan dan penyusunan semula bola sepak di negeri itu akan dilaksanakan.

Ia berikutan ada dua entiti besar bola sepak beroperasi dalam negeri itu, iaitu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan PKNS, selain Selangor United yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Rajagobal pada mulanya enggan mengulas, namun seakan-akan tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan akhirnya membuka mulut.

"PKNS mempunyai banyak legasi dan sejarah. Sebelum ini, saya mewakili pasukan ini selaku pemain bersama barisan legenda lain.

"Saya berkhidmat buat PKNS selama 22 tahun dan kami mempunyai pemain yang mewakili Selangor selama 10 hingga 30 tahun, jadi Selangor adalah PKNS dan PKNS adalah Selangor," katanya.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih negara itu menafikan perkhabaran itu telah mengganggu fokus anak buahnya ketika ini.

Semalam, skuad The Red Ants mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas kepada Kedah 2-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.

"Saya fikir mereka beraksi dengan baik semalam. Jika anda bertanya saya apabila Kedah menyamakan kedudukan, boleh lihat lawan memiliki lebih tenaga untuk mendapatkan kemenangan yang dia perlukan," tambahnya.

"Mereka tahu kemenangan perlu diraih tetapi secara keseluruhan, anak buah saya bermain dengan baik. Bagi saya, tiada tanda-tanda menunjukkan sebarang perkara."

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, mengakui kelibat pemain muda, Fayadh Zulkifli Amin, telah memberi impak berbeza kepada pasukannya sehingga berjaya bangkit untuk mengatasi lawan.

Fayadh muncul pencetus kebangkitan skuad Lang Merah apabila meledak gol penyamaan sebelum pertahanan, Rizal Ghazali, menjadi wira menerusi gol kemenangan di lewat permainan.

"Alhamdulillah, dia masuk dan mengubah perlawanan. Saya rasa pemain senior membantunya. Sudah tentu dalam usaha menghasilkan gol kedua, dia memberi motivasi terbaik buat pasukan. Saya gembira dan diharapkan dia akan terus berkembang di masa depan," ujarnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen