Safee sah sertai PJ City FC 

Oleh Bernama 20 Februari 2019 728
Safee sah sertai PJ City FC 
Teka-teki berhubung status bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, akhirnya terjawab apabila dia sah menyertai Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bagi musim 2019.

Selain bekas penyerang Perlis itu, PJ City turut mengikat Sergio Paulo Nascimento Filho dari kelab divisyen dua Brazil, Clube de Regatas, dengan kontrak setahun.

Safee mengakui faktor keakraban dengan jurulatih PJ City FC, K. Devan, menjadi punca utama dia bersetuju untuk menguatkan pendatang baru Liga Super berkenaan walaupun mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain.

“Saya pernah bekerja dengan beliau sebelum ini dan pasukan ini lebih dipercayai. Beraksi bersama Perlis merupakan mimpi buruk dalam perjalanan karier saya dan menjadi pengajaran buat saya serta pemain lain supaya tidak terpedaya dengan janji manis daripada pihak pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Safee berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat memanjangkan tempoh pendaftaran pertama pemain yang berakhir tengah malam ini bagi membolehkan bekas rakan sepasukannya di Perlis mendapatkan pasukan baru.

Safee sebelum ini bertindak meninggalkan Perlis setelah dilaporkan tidak menerima gaji sejak dua bulan lalu.

“Bagi pemain seperti saya, mungkin tidak bermasalah mendapatkan pasukan baru tapi tolonglah masa depan pemain muda yang baru menceburi bidang bola sepak profesional kerana ia akan membunuh karier mereka (sekiranya tidak dibayar gaji),” jelasnya..

Bercakap mengenai kehadiran Safee, Devan percaya pengalaman luas dimiliki penyerang itu akan membantu PJ City FC melakar keputusan positif dalam Liga Malaysia musim ini.

“Saya kenal Safee ketika saya menjadi jurulatih Selangor selama tiga tahun dan karakter yang saya suka padanya adalah dia seorang yang berdisiplin dan mempunyai karakter yang bagus,” katanya.

Beliau berkata walaupun pasukannya mempunyai beberapa penyerang, namun kehadiran Safee akan memperbaiki pasukan serta membantu pemain muda.

Kehadiran Sergio melengkapkan senarai lima pemain import PJ City FC yang sudah menandatangani empat pemain lain, iaitu Pedro Henrique dan Giancarlo Rodrigues dari Brazil, Bae Beom Geun (Korea Selatan) dan Joshua Jake Grommen dari Filipina.

PJ City FC menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan dalam carta Liga Super dengan kutipan empat mata daripada tiga perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen