Shopee, MFL teruskan kerjasama

Oleh Bernama 12 Februari 2019 1282
Shopee, MFL teruskan kerjasama
Shopee, platform e-dagang ternama di rantau Asean dan Taiwan, memperbaharui kerjasama sebagai penaja utama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi musim kedua berturut-turut.

Kedua-dua pihak mengumumkan kerjasama mereka tahun lalu lagi yang menyaksikan Shopee menjadi penaja utama bagi pertandingan bola sepak Piala FA dan juga Liga Malaysia.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ia Ho, berkata mereka gembira untuk meneruskan kerjasama dengan MFL, terutama dalam mengukuhkan kedudukan mereka di rantau Asean, dan menambah bahawa syarikat itu akan terus menawarkan platform mereka sebagai penjual tiket-tiket perlawanan dan barang-barang dagangan eksklusif rasmi pasukan bagi meningkatkan hasil pasukan bersaing dalam Liga Malaysia.

Untuk rekod, Shopee berjaya menjual 30,000 tiket perlawanan bola sepak menerusi platform mereka tahun lalu.

"Pada pandangan kami, kerjasama ini lebih kepada usaha menyokong komuniti bola sepak dalam negara dan sasaran kami adalah untuk membantu kelab-kelab tempatan menjana pendapatan lebih, terutama daripada segi jualan tiket menggunakan platform kami.

"Kami melihat minat terhadap sukan ini sentiasa memuncak di kalangan pasukan-pasukan bertanding dan kami hanya bekerjasama dengan mereka yang benar-benar bersemangat, terutama dalam menjulang kemeriahan Liga Malaysia,” tambahnya.

Berkongsi pandangan sama adalah ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, yang menyifatkan kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi nilai tambah kepada pertandingan di bawah MFL, terutama Piala FA yang disertai 38 pasukan amatur pada musim ini.

"Dengan adanya kerjasama ini, kami berharap dapat menjangkau lebih banyak penyokong, terutama untuk Piala FA, dan kita boleh menambah nilai pertandingan ini menjadi lebih berprestij berbanding Piala Malaysia," jelas Yusoff yang juga merupakan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Saingan Piala FA 2019 akan bermula dengan pusingan kelayakan melibatkan 38 pasukan amatur pada 16-17 Feb ini, disusuli pusingan pertama pertandingan yang dijangka berlangsung penghujung bulan ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen