Tempat kelahiran pengadil Liga-M jadi ukuran 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Februari 2020 219
Tempat kelahiran pengadil Liga-M jadi ukuran 
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid, tetap dengan pendirian mengelak mana-mana pegawai perlawanan daripada mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan negeri kelahiran.

Tindakan itu dianggap hanya mengundur ke belakang.

Md Dali mempunyai jawapan di atas keputusan yang diambil itu walaupun kekal dengan pendirian bahawa pengendali sedia ada tetap cukup profesional.

Bagi mengelak kontroversi, FAM kekal tidak akan menurunkan pengadil yang memiliki tempat lahir yang sama dengan pasukan yang akan diadili dalam mana-mana perlawanan.

"Kami fikir pengadil sentiasa bersikap profesional untuk membolehkan kami meletakkan sesiapa sahaja. 

"Tetapi memandangkan kami tidak mahu sesuatu perkara itu boleh menimbulkan kontroversi besar  yang melibatkan sekretariat FAM, jadi kami akan cuba yang terbaik,"  katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini. 

Dalam masa yang sama, badan induk itu turut bertegas dengan pemilihan pengadil tempatan yang dianggap sebagai keutamaan.

Tiada perancangan daripada FAM untuk membuka peluang kepada mana-mana pengadil dari luar dalam saingan Liga M 2020.

"Pengadil Liga M berkualiti. 

"Empat pengadil negara telah terpilih untuk mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Iraq, minggu lalu. 

"Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengiktirafkan pengadil-pengadil tersebut, atas alasan tersebut kami mengutamakan pengadil tempatan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen