Terengganu bangkit sekat hajat JDT akhiri kempen dengan bergaya 

Oleh Staff Writer 19 Julai 2019 7165
Terengganu bangkit sekat hajat JDT akhiri kempen dengan bergaya 
JDT 3 TERENGGANU 3 

Kebangkitan pelawat, layangan kad merah dan kegagalan sepakan penalti menjadi sebahagian drama yang merencatkan Majlis Sambutan Menjulang Piala Liga Super Kali Keenam Berturut-Turut di Stadium Larkin, sebentar tadi. 


Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan membenarkan Terengganu bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3, sekali gus merencatkan hasrat tuan rumah untuk menoktahkan kempen dengan positif.  

Sang Penyu terlebih dahulu menyentak misi skuad kendalian Benjamin Mora itu melalui sepakan leret pemain import, Sanjar Shaakhmedov, susulan sepakan penjuru daripada Lee Tuck pada minit ke-24. 

Juara Liga Super itu, bagaimanapun, mengatur semula permainan dalam memburu jaringan penyamaan dan usaha itu berhasil menerusi sentuhan penyudah Leandro Velazque yang menerima hantaran Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari gerakan sayap kiri pada minit ke-31. 

Empat minit berselang, giliran JDT memimpin perlawanan sejurus kelibat Safawi Rasid mengucar-ngacirkan benteng lawan sebelum melepaskan rembatan yang terbias daripada pertahanan lawan, seterusnya mengelirukan penjaga gol, Ilham Amirullah Razali. 

Harimau Selatan hanya memerlukan seminit selepas keluar dari bilik persalinan untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1 melalui jaringan Gonzalo Cabrera. 

Tandukan pertahanan kelahiran Ukraine, Serhii Andrieiev, yang baru diserap masuk daripada Terengganu II membuktikan kualitinya apabila menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-65. 

Lee Tuck menjadi duri dalam daging buat JDT dengan melencongkan satu sepakan percuma rendah untuk menembusi gawang yang dikawal Farizal Marlias untuk menyamakan kedudukan.

Situasi itu mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Terengganu mengakhiri permainan dengan 10 pemain akibat kad merah ke atas Tuck.  

Barisan bimbingan Nafuzi Zain itu terus berdepan asakan hebat dalam tempoh 10 minit terakhir permainan dan kemasukan Akhyar Rashid pada penghujung perlawanan, menghadiahkan sepakan penalti tetapi Ilham menjadi wira Terengganu untuk mengutip satu mata apabila merebahkan badan ke sebelah kanan bagi menepis sepakan Diogo Luis Santo.

Sebaik wisel penamat ditiupkan, trofi Liga Super diarak masuk dan mengelilingi stadium sebelum Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim menyempurnakan upacara penyerahan medal. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen