Azamuddin puas cipta rekod peribadi

Oleh Staff Writer 29 Julai 2019 13321
Azamuddin puas cipta rekod peribadi
Pemain sayap Kedah, Azamuddin Akil, mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejuaraan Piala FA bersama tiga pasukan berbeza walaupun setahun tidak beraksi akibat kecederaan, musim lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu melalui saat sukar ketika bersama Selangor tahun lalu apabila sering dibelenggu kecederaan sehingga terpaksa disisihkan selama semusim sebelum berhijrah ke Kedah musim ini demi kelangsungan kariernya.

Bagaimanapun, penghijrahannya ke skuad Lang Merah memberi pulangan lumayan menerusi kejayaan menjulang trofi Piala FA, kelmarin.

Apa yang menarik, ia adalah kejayaan kali ketiga buat Azamuddin dalam kejohanan itu selepas memenanginya bersama Pahang pada 2014 dan Johor Darul Ta'zim (JDT), tiga tahun lalu.

"Saya fokus untuk permainan dan lakukan yang terbaik buat pasukan. Alhamdulillah, saya dapat membantu pasukan," katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Amirul Hisham Awang Kechik, lega berjaya menyempurnakan tugasnya sebagai bidan terjun di barisan pertahanan.

Dia yang menggantikan pemain yang digantung, Renan Alves, membentuk gandingan ampuh bersama Shakir Hamzah dalam aksi 120 minit di Bukit Jalil.

"Saya gembira dapat bermain dengan baik di posisi baru. Apapun, tahniah buat pasukan yang sentiasa membantu antara satu sama lain. Jika saya seorang berjuang, ia tidak akan berlaku. Tahniah buat Kedah," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen