Jangan jadi jaguh kampung -- Faizal

Oleh Staff Writer 19 Julai 2019 2380
Jangan jadi jaguh kampung -- Faizal
Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, meletak sasaran juara dalam perlawanan akhir Piala FA 2019 bagi membolehkan The Bos Gaurus sekali lagi beraksi di pentas Asia musim depan.

Perak menjadi pengganti kepada Pahang sebagai wakil Malaysia beraksi di peringkat playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Ia selepas Pahang selaku juara Piala FA musim lalu digantung dua tahun daripada memohon lesen (Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Perak dipilih selaku naib juara Liga Super 2018.

Kembali berpeluang ke pentas Asia andai menjuarai Piala FA musim ini, Presiden PAFA, Ahmad Faizal, mahu impian itu direalisasikan anak buah Mehmet Durakovic. 

"Kami tidak mahu Perak sekadar dianggap sebagai jaguh kampung. Saya mahu mereka beraksi lebih cemerlang lagi selepas ini di pentas lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, PAFA memutuskan jualan tiket untuk final Piala FA akan dibuat di tujuh daerah yang sudah ditetapkan.

Bagi melicinkan proses penjualan tiket berkenaan, PAFA mengambil pendekatan proaktif apabila berkerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan SPRM bagi membuat pemantauan di kesemua tempat penjualan tiket."

Ahmad Faizal hari ini mengadakan sidang media khas di ibu negara sempena perlawanan akhir Piala FA di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Imej: Perak TBG

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen