Kecemerlangan Goulon beri Perak laluan berliku 

Oleh Staff Writer 22 Jun 2019 6010
Kecemerlangan Goulon beri Perak laluan berliku 
PAHANG 3 PERAK 1 

Pertahanan, Herold Goulon, memberikan Pahang keceriaan berganda kerana bukan sahaja membantu kemenangan Pahang 3-1 ke atas Perak, bahkan menjaringkan satu gol memukau dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.


Hasrat pengendali tuan rumah, Dollah Salleh, yang menyeru barisan pemainnya agar tidak membuang masa untuk mencari kelebihan, terlaksana apabila gawang wakil dari utara itu bergegar dengan tandukan pemain import dari Perancis, Goulon, pada minit ke-11.

Begitupun, rentak juara menanti itu terencat pada minit ke-32 susulan ayam tambatan, Dickson Nwakaeme, gagal meneruskan permainan akibat kecederaan. 

Insiden itu tidak melemahkan Pahang, sebaliknya tujuh minit berselang, kealpaan benteng The Bos Gaurus dihukum dengan sepakan gunting Mohamadou Sumareh untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pelawat tampil lebih garang sejurus keluar dari bilik persalinan apabila melancarkan beberapa percubaan berbahaya.

Hasil daripada usaha itu, kem Perak bersorak sebaik tendangan kaki kiri J. Partiban, yang menerima lorongan daripada  Hisham Hassan, menerjah jaring untuk mereka merapatkan kedudukan pada minit-56.

Kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang selepas itu. 

Perak mematahkan rembatan Faisal Rosli di dalam kotak penalti sebelum tiga pertahanan Pahang sempat mengekang larian penyerang gantian, Shahrel Fikri Md Fauzi. 

Namun, tanpa disangka-sangka, stadium kembali bergema apabila sepakan percuma Goulon dari kawasan sendiri berjaya menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, dalam masa pemberhentian, sekali gus menjadi bekalan lebih berguna buat mereka menjelang aksi timbal balik ketika bertandang ke Ipoh, Sabtu depan. 

Keputusan lain:

KEDAH 1 FELDA UNITED 0
(Rodriguez, pen '69)




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen