Leandro menyakitkan hati, kata Goulon

Oleh Staff Writer 23 Jun 2019 32445
Leandro menyakitkan hati, kata Goulon
"Leandro (Dos Santos) menyakitkan hati di atas padang," kata pertahanan Pahang, Herold Goulon, yang menganggap provokasi pemain import Perak itu mengganggu kekuatan mental pasukannya sebelum melakar kemenangan 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Dengan menyifatkan pemain lawan itu sebagai pemain yang bijak, dia mengakui sikap licik dan provokasi yang dilakukan pemain kelahiran Brazil itu benar-benar mencabar ketahanan mental pemain Tok Gajah.

Namun, kelicikan itu masih belum cukup untuk mengganggu rentak Pahang hingga ke penghujung aksi.

"Saya berasakan dia seorang yang bijak.

"Dia tahu apa yang sedang dilakukannya.

"Dia seorang yang baik di luar padang.

"Sudah pasti dia amat menjengkelkan di atas padang, namun jika anda mengenalinya, anda tidak perlu melayaninya dan biarkan sahaja dia keseorangan begitu.

"Saya tidak perlu bercakap banyak mengenainya.

"Bagi saya, dia seorang pemain yang bagus," katanya dalam keadaan separuh tergelak.

Dalam masa sama, pemain import dari Perancis itu tidak menjangkakan jaringan peribadi keduanya dalam perlawanan itu dapat memenuhi impian Pahang untuk memiliki kelebihan agregat lebih besar sebagai bekalan menjelang aksi timbal balik di Ipoh, minggu depan.

Dia menganggap ia sebagai jaringan nasib ketika ramai juga yang tidak menyangka sepakan percuma yang diambilnya dari jarak lebih separuh padang itu akan menembusi gawang Perak yang dikawal penjaga gol skuad kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

"Secara jujurnya, jaringan kedua itu disebabkan saya bernasib baik.

"Ia kerana saya terlalu letih dan tidak dapat menyepaknya dengan betul.

"Ia akhirnya berakhir di jaring lawan, jadi saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya.

"Ia pasti kerana faktor nasib," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen