PAFA nafi sudah mula jual tiket

Oleh Azizan Hashim 16 Julai 2019 79
PAFA nafi sudah mula jual tiket
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menafikan sudah mula menjual tiket final Piala FA 2019 di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar, berkata berita bahawa tiket sudah mula dijual adalah maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai tiket perlawanan akhir Piala FA 2019.

"Jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket, maka orang itu cuba mengambil kesempatan dan penyokong perlu berhati-hati.

"PAFA tidak bertanggungjawab sekiranya ada penyokong yang membeli tiket palsu dan kami nasihatkan mereka agar beli dari saluran yang sah.

"Tiket perlawanan akhir hanya akan dijual pada 23 Julai dan mustahil jika ada pihak yang mendakwa sudah mempunyai 500 tiket ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat individu yang mendakwa sudah mempunyai tiket seperti yang tular dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp.

Tajul Hasnan menambah sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada Perak dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak, Ipoh manakala 12,000 tiket akan diagihkan ke seluruh daerah manakala baki 3,000 tiket akan dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan yang berkaitan.

"Kami akan jual tiket pada 23 Julai ini bermula jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak.

“Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Selain itu, tiket turut boleh dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim, PDT Lenggong, manakala untuk Kuala Kangsar di Dewan Jubilee Perak dan daerah Manjung di Stadium Mini Manjung.

"Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak dan lokasi ini telah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing,” katanya lagi.

Tambahnya, pihaknya berharap kehadiran penyokong dalam aksi final nanti mampu menyuntik motivasi pemain untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir menjulangnya 15 tahun lalu -- menewaskan Terengganu 3-0 pada 2004.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen