Yusoff beri empat bintang kepada Okabe

Oleh Staff Writer 28 Julai 2019 14486
Yusoff beri empat bintang kepada Okabe
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, memberi empat daripada lima bintang kepada Takuto Okabe selepas pengadil dari Jepun itu menjalankan tugasnya dengan cemerlang dalam aksi final Piala FA, malam tadi.

Kelibat Okabe mencuri tumpuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil apabila menjadi pengadil luar pertama mengadili aksi final dalam kancah bola sepak tempatan.

Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu menyerlah dengan ketegasannya membuat keputusan membabitkan beberapa insiden kekasaran.

Sepanjang permainan, Okabe melayangkan enam kad kuning, masing-masing empat kepada Perak dan dua buat Kedah serta satu kad merah kepada Amirul Azhan Aznan dalam masa kecederaan.

"Bukan mahu menidakkan pengadil tempatan tetapi mereka harus mengambil persembahan Okabe sebagai penanda aras bagi memastikan tiada insiden kontroversi berlaku dalam perlawanan penentuan seperti ini," kata Yusoff.

Ketika prestasi Okabe mendapat pujian badan induk itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar turut bersetuju dengan mutu pengadil dari Jepun itu.

"Saya memuji mutu pengadilan dalam perlawanan ini. Saya berasakan pengadil tempatan boleh mengambil pendekatan yang sama untuk perlawanan akan datang," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen