Brandao mahu terus robek gawang JDT

Oleh Staff Writer 12 September 2019 305
Brandao mahu terus robek gawang JDT
Penyerang Petaling Jaya City FC, Washington Brandao, melaungkan amaran bahawa dia akan menggegarkan gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali ketiga dalam tempoh kurang daripada tiga bulan menjelang perlawanan kelima Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok. 

Penyerang itu mencipta sensasi apabila muncul satu-satunya penjaring di Larkin yang memberikan kekalahan tunggal JDT dalam kempen Liga Super, Julai lalu. 
 
Pemain kelahiran Brazil itu kembali ke venue sama bulan lalu dan menjaringkan satu gol lagi ketika pasukannya tewas 2-4 dalam aksi pertama Piala Malaysia.

Misinya kali ini adalah untuk memastikan pasukannya meraih tiga mata di laman sendiri dalam aksi malam esok.

"Bagi saya, setiap perlawanan adalah berbeza.

"Menentang JDT sentiasa sukar kerana mereka salah satu pasukan terkuat di Malaysia.

"Namun, kami tidak perlu berasa takut untuk menentang mereka.

"Ia sentiasa bagus untuk berlawan dengan pasukan terbaik.

"Kerana itu, jika kami kekal fokus dan tidak hilang konsentrasi, kami mampu melakukannya," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, K. Devan, mahu anak buahnya berwaspada dengan ancaman skuad Harimau Selatan itu dalam misi untuk ke suku akhir. 

"Kami tahu kekuatan JDT dan kami kenal setiap individu yang boleh mengubah keputusan perlawanan.

"Kami perlu memberikan perhatian.

"Satu aspek lagi, kami perlu memberikan perhatian terhadap serangan balas mereka, peralihan permainan dan gerakan set-piece," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen