Faridzuean mahu kebal di gawang

Oleh Farizal Yusoff 9 Ogos 2018 1580
Faridzuean mahu kebal di gawang
Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, bertekad mengulangi aksi terbaik untuk terus kebal di gawang dalam aksi kedua kempen Kumpulan C Piala Malaysia menentang pendatang baru, MISC-MIFA FC, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Katanya, kejayaan menghalang segala percubaan jentera serangan skuad Kedah dalam aksi pertama di Alor Star mahu diulangi jika terus mendapat kepercayaan pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.

"Saya akui cukup bersemangat selepas mempertahankan gawang daripada ditembusi sepanjang 90 minit menentang Kedah.

"Alhamdulillah, ini kali pertama gawang kami tidak dibolosi sepanjang saingan Liga Malaysia dan sudah pasti menjadi motivasi terbaik menghadapi skuad kendalian K Devan.

"Terima kasih kepada rakan pertahanan yang diketuai kapten, Mohamad Farisham Ismail, dalam menyerap segala asakan lawan," katanya.

Faridzuean yang juga bekas penjaga gol Melaka United (MU), berharap pujian yang diterima tidak melalaikannya tetapi berusaha lebih gigih untuk terus mencipta kejayaan.

"Pujian boleh membunuh jika kami terus khayal. Kami akan meningkatkan komunikasi di benteng bagi menghalang pergerakan jentera serangan MIFA yang diketuai bekas penyerang Kelantan, L'Imam Seydi, dan penjaring terbanyak mereka, Kpah Sherman," katanya.

Kelantan memulakan saingan Piala Malaysia dengan satu mata apabila mengikat finalis Piala Malaysia tahun lepas, skuad Hijau Kuning tanpa jaringan di Stadium Darulaman manakala MISC-MIFA yang dibimbing K Devan mencipta kejutan terbesar mengalahkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 di Larkin.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen