Selagi ada peluang, Sabah akan terus berjuang 

Oleh Willie Jude 24 Ogos 2019 1117
Selagi ada peluang, Sabah akan terus berjuang 
Walaupun tewas ketiga-tiga perlawanan dalam kumpulan C, Piala Malaysia sebelum ini, Sabah tetap enggan menyerah kalah dan bertekad untuk bangkit dalam tiga aksi terakhir mereka, bermula dengan perlawanan dengan naib juara Liga Super, Pahang, di Stadium Darulmakmur malam ini.

Bagaimanapun, pengendali skuad Tambadau, Jelius Ating, mengakui tugas sukar menanti mereka di Kuantan, lebih-lebih lagi selepas pasukannya tewas kepada pasukan sama di gelanggang sendiri, minggu lalu.

Beliau juga berharap anak didiknya akan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan itu dan yakin mereka mampu menyaingi Pahang berdasarkan aksi mereka ketika bertemu lawan sama di Stadium Likas, Sabtu lalu.

"Selagi kami masih berpeluang, kami akan terus berjuang dan tiga perlawanan ini, termasuk bertemu Pahang malam ini, sangat penting bagi kami. 

"Sasaran kami dalam perlawanan ini tiada lain selain kemenangan kerana kami mahu terus kekal bersaing dalam Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sementara itu, Jelius berkata kesemua pemainnya kini bersiap sedia untuk beraksi kecuali Maxsius Musa yang terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

Ketika ditanya mengenai pasukan Pahang, beliau enggan mengulasnya kerana baginya, apa yang lebih penting adalah pasukannya perlu meningkatkan lagi prestasi bagi menyaingi skuad Tok Gajah itu dan salah satu caranya adalah dengan bekerja lebih keras di atas padang.

"Saya tidak mahu berkata mengenai Pahang kerana apa yang lebih penting adalah memikirkan mengenai prestasi kami sendiri dan saya yakin sekiranya barisan pemain bekerja keras di sepanjang permainan, kami mampu menyaingi Pahang," katanya. 

Selepas tiga perlawanan, Sabah yang juga juara Liga Perdana musim ini terus menghuni tangga tercorot Kumpulan C apabila tewas dalam semua aksi pusingan pertama manakala Pahang pula sudah semakin hampir untuk layak ke peringkat seterusnya selepas menang ketiga-tiga perlawanan selain menduduki tangga teratas. 
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen