Shahril sesal digantung lima perlawanan

Oleh Staff Writer 11 September 2019 348
Shahril sesal digantung lima perlawanan
Kapten skuad PDRM, Shahril Saari, melahirkan kekesalan di atas perbuatannya hingga dikenakan hukuman berat penggantungan lima perlawanan ketika skuad The Cops itu berpeluang cerah untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Penjaga gol itu dikenakan hukuman berkenaan selepas bertumbuk dengan pemain Pulau Pinang, Afiq Azmi, dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka, 20 Julai lalu.

Jawatankuasa Tataterib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang bermesyuarat 28 Ogos lalu, memutuskan penjaga gol kelahiran Terengganu itu tidak dibenarkan untuk beraksi selama lima perlawanan bermula dengan aksi menentang Felda United, Sabtu ini.

"Saya juga ada sasaran sendiri untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya layak ke suku akhir.

"Bila dapat keputusan yang saya digantung, memang agak kecewa tetapi saya terpaksa menerima dengan hati terbuka," katanya.

Ketua jurulatih PDRM, E. Elavarasan, bagaimanapun, menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak berasakan kehilangan Shahril sebagai petanda buruk buat pasukannya.

"Sudah pasti dia penting buat pasukan.

"Kestabilannya di depan gawang akan membantu pertahanan kami.

"Tapi dengan keputusan FAM itu, kami kena terimalah.

"Kami perlu mengubah cara permainan dengan apa yang sesuai dan apa yang kami ada sekarang," katanya.

Skuad Sang Saka Biru itu kini giat berlatih di padang rumput tiruan sebagai persediaan untuk berdepan The Fighters di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bagi aksi kelima Kumpulan D.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen