PSM jumpa MSN selesai isu berbangkit

Oleh Tengku Danish Bahri 4 Ogos 2019 2078
PSM jumpa MSN selesai isu berbangkit
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, memilih pendekatan 'tunggu dan lihat' untuk membalas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Rabu ini, bagi memberi gambaran berhubung isu yang melanda badan induk itu.

Ahmad juga meminta agar tiada persepsi buruk dilemparkan kepada PSM selain berharap perjumpaan yang akan berlangsung di Johor Bahru itu dapat menyelesaikan segala masalah.

"Kami tidak mahu merumitkan keadaan menjadi lebih buruk.

"Kelak akan ada yang tersalah tafsir dan biar kami mencari jalan secara profesional.

"Macam melempar duit syiling, kalau anda tengok pada bahagian kepala, akan nampak kepala tapi di sebaliknya ada bunga yang lebih indah," katanya selepas menyampaikan trofi Piala Emas Khir Johari kepada regu ATM B di Kuala Terengganu, petang tadi.

Dua hari lalu, Syed Saddiq meluahkan rasa kecewanya sambil menyifatkan PSM sebagai tidak adil dalam proses pemberian elaun kepada pemain.

Isu terpalit itu dikatakan menjadi faktor persaraan tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, daripada kem negara.

Namun, semua pihak tidak perlu berdukacita di atas pemergian dua pemain itu dengan Ahmad membuat perbandingan pencapaian Malaysia dalam Kejohanan Asia di Kunming, Jun lalu.

"Kami hanya mempertaruhkan regu kelima dalam kejohanan itu dan mereka memberikan kilauan pingat sama seperti dua tekong yang dianggap hebat itu.

"Tindakan yang diambil PSM (ke atas Syahir dan Zulkifli) bertujuan mengajar mereka daripada kesilapan.

"Kalau belajar saja tak cukup, mereka kena sedar, kalau sedar pun tak cukup, nampaknya mereka kena insaf," katanya lagi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen