PSM mahu Syahir, Zulkifli tunggu keputusan jawatankuasa tatatertib

Oleh Staff Writer 7 Ogos 2019 2755
PSM mahu Syahir, Zulkifli tunggu keputusan jawatankuasa tatatertib
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak tunduk kepada tekanan, sebaliknya mengambil tindakan drastik dengan mengarahkan bekas pemain negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, menghadap jawatankuasa tatatertib badan induk itu, minggu depan. 

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, meminta dua tekong utama itu melalui proses jawatankuasa tatatertib persatuan jika masih mempunyai hasrat untuk beraksi bersama skuad negara. 

Sebelum ini, kedua-dua pemain itu digantung sementara ekoran masalah disiplin dan status mereka masih kekal sehingga selesai proses jawatankuasa tatatertib nanti. 

"Apa jua keputusan daripada jawatankuasa tatatertib akan diangkat kepada majlis dan kalaulah kata putus tidak memihak mereka, ruang untuk merayu masih ada. Ruang masih terbuka luas untuk mereka," katanya.

PSM dikritik hebat apabila didakwa memotong elaun latihan dua wakil negara tersebut dan menjadi punca kepada keputusan nekad mereka untuk bersara.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sudah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) agar meneruskan pembayaran elaun penuh secara terus ke dalam akaun pemain. 

"Isu elaun sebenarnya tidak berlaku kerana ia telah dibayar sejak Januari lalu. Tiba-tiba apabila denda yang dikenakan kepada mereka turun satu atau dua kategori, mereka bijak dengan asyik menyuarakan isu elaun," kata Ahmad lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen