PSM sokong usaha ISTAF

Oleh Bernama 12 September 2019 304
PSM sokong usaha ISTAF
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyokong penuh usaha berterusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk membawa sukan tradisi itu ke Sukan Olimpik.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, berkata dengan perkembangan terbaru yang menyaksikan sukan sepak takraw akan dipromosikan dalam Olympic Channel, ia satu langkah terbaik dalam perjalanan menuju penyenaraian sukan itu dalam temasya sukan terbesar berkenaan.

“PSM menaruh harapan tinggi untuk melihat sepak takraw menjadi salah satu sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan kami akan berganding bahu bersama ISTAF dalam menjayakan usaha ini.

“Untuk permulaan, perlunya penyenaraian sepak takraw dalam Sukan Komanwel yang akan datang supaya ia boleh menjadi platform terbaik sebelum langkah seterusnya ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sepak takraw telah dipertandingkan dalam Sukan SEA sejak 1965 manakala Sukan Asia pula sejak 1990.

Sebelum ini, Bernama melaporkan peluang untuk sukan sepak takraw disenaraikan dalam Sukan Olimpik semakin cerah apabila Olympic Channel memberikan lampu hijau untuk mempromosikan sukan itu. 

Olympic Channel merupakan destinasi media global utama di mana peminat boleh merasai kuasa sukan dan keterujaan Sukan Olimpik sepanjang tahun dan ia boleh disaksikan di seluruh dunia di www.olympicchannel.com, 24 jam sehari, 365 hari setahun dalam 11 bahasa. 

Dalam pada itu, Ahmad Ismail berkata banyak usaha yang perlu dipertingkatkan untuk merealisasikan impian berkenaan, antaranya ISTAF harus memastikan sepak takraw menjadi sukan yang diterima oleh seluruh dunia.

“Saya difahamkan untuk sesuatu sukan itu disenaraikan dalam Sukan Olimpik, antara syaratnya ialah sukan berkenaan perlu merentasi lima benua dan sekurang-kurangnya 70 negara bermain secara aktif,” katanya.

Selain sepak takraw, lima persatuan sukan yang turut di senaraikan dalam Olympic Channel yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ialah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Persekutuan Ice Stock Sport Antarabangsa (IFI), Persekutuan Menyelamat Nyawa Antarabangsa (ILS), Persekutuan Perahu Naga Antarabangsa (IDBF) dan Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF).

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen