STL: Bison belum boleh dabik dada

Oleh Azizan Hashim 17 Oktober 2019 4373
STL: Bison belum boleh dabik dada
Perak Bison masih belum boleh mendabik dada biarpun menduduki tangga kedua Liga Sepak Takraw (STL) ketika ini.

Ia disebabkan perjalanan mereka masih jauh dan masih berbaki enam perlawanan lagi.

Justeru, ketua jurulatihnya, Ismi Hissan Ismail, berharap pemainnya sentiasa berpijak di bumi nyata agar tidak leka dibuai mimpi.

"Masih banyak perlawanan perlu dilalui dan kami akan bertemu pasukan kuat seperti Penang Black Panthers, Johor Tigris dan ATM Defenders.

"Oleh yang demikian, tiada ruang untuk pemain Bison berpuas hati dengan pencapaian setakat ini.

"Kami belum menang apa-apa lagi. Oleh itu, kami kena terus berusaha dan bekerja keras," katanya.

Ismi berharap anak buahnya mampu meneruskan momentum seperti pada minggu kelima yang menyaksikan mereka mengutip enam mata hasil tiga kemenangan di Gem In Mall, Cyberjaya.

Berikutan tuah jadual, Perak Bison hanya akan turun sekali sahaja dalam minggu keenam bertemu Kelantan Warriors di Gem In Mall, Sabtu ini.

Ismi berharap pemain Bison menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan minggu ini.

"Mereka hanya perlu tumpukan perhatian terhadap satu perlawanan. Jadi, saya berharap mereka tidak sia-siakan kelebihan yang dimiliki.

"Bagaimanapun Kelantan bukan calang-calang pasukan," ujarnya lagi. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen