STL: Perak Bison akur kehebatan ATM Guardians

Oleh Farizal Yusoff 12 Oktober 2018 1388
 STL: Perak Bison akur kehebatan ATM Guardians
Hajat Perak Bison untuk memburu kemenangan kedua berkecai apabila tumpas 0-2 (13-21, 14-21) kepada ATM Guardians dalam aksi pertama minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Perak Bison menurunkan apit kanan terbaik STL tahun lalu, Mohd Fadzil Mustapha, Azwan Muhrim dan tekong, Yus Hanif Rosli, manakala ATM Guardians mempertaruhkan tekong muda negara, Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, pelibas utama, Mohd Khairuddin Adenan, dan apit kiri, Norfaizzul Abdul Razak.

Dalam set pertama, servis kencang tekong ATM Guardians, Hairul Hazizi, menjadi senjata utama untuk mendahului 20-13 sebelum tekong Perak, Yus Hanif, melakukan servis yang terkandas untuk ATM menang 21-13.

ATM Guardians, yang masih segar dengan kejayaan mengejutkan regu pilihan, Terengganu Turtles, 2-0 minggu lalu, jelas berselera untuk memburu kemenangan kedua.

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, membuat pertukaran memasukkan tekong muda, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, dan mengeluarkan Yus Hanif yang kurang konsisten.

Beberapa kesilapan mudah yang dilakukan Perak Bison menyebabkan mereka ketinggalan 11-4 dan mula berasa tertekan.

Kombinasi menarik trio ATM Guardians jelas menghampakan Perak Bison untuk bangkit mengejar apabila jauh ketinggalan 8-15 sebelum meminta 'time-out'.

Perejam utama ATM Guardians yang juga bekas apit kanan negara, Khairuddin, terus membuktikan kehebatan apabila variasi libasannya memerangkap pergerakan Perak Bison bagi mendahului 18-12.

Servis kencang Hairul Hazizi dalam mata akhir mencari apit kiri Perak Bison, Azwan Muhrin, yang gagal mengawal kemas untuk memberikan kemenangan mutlak 21-14 buat ATM Guardians.

Ismi akur dengan kekalahan sambil menyifatkan tekong ATM Guardians mengucar-kacirkan pertahanan pemainnya.

"Dia (Hairul Hazizi) begitu menjadi dan variasi servisnya memerangkap pergerakan pemain saya.

"Kami akur dengan kekalahan ini dan perlu bangkit segera untuk menghadapi satu lagi lawan sukar, Terengganu Turtles, malam esok," katanya.






 
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen