STL: Tigris alami kekalahan kelima

Oleh Staff Writer 19 Oktober 2019 1874
STL: Tigris alami kekalahan kelima
Johor Tigris terus menerima tamparan hebat apabila sekali lagi tewas dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Selepas tunduk di tangan Terengganu Turtles semalam, kali ini giliran Negeri Sembilan Antlers menambah duka pasukan dari selatan tanah air itu dengan kemenangan straight set.

Dalam aksi ke-13 liga itu, Johor Tigris yang dibimbing Ahmad Jais Baharom menurunkan tekong, Farid Aziz, perejam, Noraizat Nordin dan feeder, Mukhlis Borhan. 

Ternyata percaturan menurunkan trio yang sudah berganding dalam tempoh yang lama itu tidak memberi tuah buat Tigris apabila tewas 21-16.

Set kedua menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mengawal tempo permainan tetapi kebijaksanaan menggunakan setiap kesempatan menyaksikan tekong kelahiran Kelantan, Hisyam Mat, serta rakan sepasukan, Zulafendi Sumari dan Hafizul Hayazi, mudah mengutip mata demi mata untuk mendahului 15-7. 

Namun, hasrat Tigris untuk bangkit lebur apabila ditewaskan dalam tempoh 23 minit sambil Antlers mengakhiri saingan dengan kemenangan 21-12.

Untuk rekod, ia merupakan kemenangan keenam Negeri Sembilan Antlers manakala Johor Tigris berada di tangga ketiga selepas meraih kekalahan kelima musim ini.

Sementara itu, ATM Guardians meneruskan rentak kemenangan susulan kejayaan mengatasi Kuala Lumpur Thunder di gelanggang sama.

Selepas membenam pasukan pilihan, Penang Black Panthers, semalam, Guardians yang menurunkan Hairul Hazizi Hadzir selaku tekong sambil dibantu Norfaizzul Razak dan Afifuddin Razali memulakan set pertama dengan tertekan apabila saling berbalas mata tatkala servis Aizat Azmi sering memberi masalah buat mereka. 

Bagaimanapun, keampuhan mengekalkan persembahan membolehkan Guardians mengakhiri set pertama 22-20 dan bersambung set kedua, jelas peningkatan ditampilkan Thunder.

Sedar dengan kebangkitan lawan, hadangan yang kemas menjadi pertaruhan serta senjata utama Guardians, sekali gus menutup aksi sengit set kedua juga dengan kemenangan 22-20.

Keputusan lain:

PERAK BISON mn KELANTAN WARRIORS 2-0 (21-16, 21-7)
ATM GUARDIANS mn KL THUNDER 2-0 (22-20, 22-20)
SABAH MOUNTAINEERS mn PDRM DEFENDERS 2-1 (21-14, 12-21, 21-15)

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen