Sukan SEA 2019: PSM sudah beri muka kepada Syahir, Zulkifli 

Oleh Staff Writer 8 Julai 2019 14758
Sukan SEA 2019: PSM sudah beri muka kepada Syahir, Zulkifli 
Setelah seminggu mendiamkan diri, akhirnya Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tampil mendedahkan kemelut pengguguran dua tekong utama, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, dengan mendakwa kedua-duanya dipengaruhi individu tertentu untuk bersikap sedemikian.

Tanpa berselindung, PSM menjelaskan mereka digugurkan atas faktor disiplin yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Bagaimanapun, badan induk itu tidak mendedahkan siapakah individu yang mempengaruhi sikap dua tekong tersebut yang sebelum ini tampil cemerlang bersama skuad negara, khususnya dalam Sukan Asia Indonesia tahun lalu dengan meraih pingat emas dalam acara regu untuk menamatkan penantian 24 tahun negara.

"PSM telah cuba untuk mengubati ranting yang dimakan anai-anai.

"Mereka berdua (Syahir dan Zulkifli) ada maruah, saya tidak mahu masa depan mereka tergugat dan kawan-kawan juga lari. 

"Hasil siasatan awal, terdapat individu-individu yang (mempengaruhi) mereka. Orang inilah yang sepatutnya bertanggungjawab," ujar Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail. 

Syahir dan Zulkifli masih mempunyai ruang untuk membela diri apabila Jawatankuasa Disiplin PSM bersidang hujung bulan ini.

Ketika ini, mereka tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang aktiviti sepak takraw dan ini bermakna kelibat mereka juga tidak dapat digunakan oleh pasukan negeri masing-masing untuk kempen Piala Emas Khir Johari dan Liga Sepak Takraw (STL).

"Mereka masih mempunyai kesempatan untuk membela diri dan kes mereka akan diputuskan bulan depan.

"Namun, dalam masa sama, ketika itu jadual PSM (agak padat) berikutan Kejohanan Piala Raja (Thailand) dan Piala Emas Khir Johari," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen