Syahir, Zulkifli tuntut nama dibersihkan

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 18409
Syahir, Zulkifli tuntut nama dibersihkan
Dua bekas tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, mahu membersihkan nama mereka semula dengan menuntut pertemuan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. 

Kedua-dua pemain itu dipalit kontroversi berhubung isu disiplin yang mendorong Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bukan sahaja menggugurkan mereka daripada kem kebangsaan, malah tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana saingan tempatan.

Mereka menganggap laporan yang dihantar PSM kepada MSN ketika mesyuarat pra-penilaian atlet 2019 awal minggu ini bersifat berat sebelah sehingga nama mereka tiada lagi dalam Program Podium.

Keutamaan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu kini bukan lagi mewakili negara, sebaliknya cuba membersihkan semula nama setelah mengumumkan persaraan semalam.

Menyangkal dakwaan PSM bahawa wujud dalang yang mempengaruhi mereka, kedua-duanya sebaliknya menjelaskan isu sebenar berpunca daripada masalah pembayaran elaun yang tidak telus.

"Kami akan buat aduan kepada ketua pengarah MSN, jadi diharapkan akan ada tindakan yang baik. Dia boleh nilai sendiri apa yang terjadi dalam persatuan," kata Syahir.

"Sebelum ini saya dibuang kerana masalah disiplin, kemudian digantung. Jadi, kami sudah terfikir bahawa perkara itu akan berlaku."

"Kalau diikutkan, memang tidak mahu lagi. Sudah berbincang dengan keluarga dan perkara ini melibatkan maruah mereka. Dulu sudah pernah kena sekali, saya diam dan kali ini tidak mahu lagi," tambah Zulkifli.

Sementara itu, PSM enggan memberikan komen lanjut dan memilih untuk menanti mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Tatatertib yang akan bersidang hujung bulan ini bagi menentukan nasib kedua-dua tekong negara itu.

"Bagi saya sedikit masa. Tidak mengapa, biar kali ini kami menjawab berdasarkan fakta. Saya tidak mahu mereka pusing-pusing (mengubah fakta) lagi selepas ini," ujar Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

"Tular lagi banyak, tidak mengapa. Kami akan jawab sekali sahaja untuk bersihkan segalanya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen