Sukan Asia: Malaysia harus letak sasaran 10 emas

Oleh Staff Writer 11 Ogos 2018 863
Sukan Asia: Malaysia harus letak sasaran 10 emas

Sasaran tujuh pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini bagi mengatasi pencapaian lima emas dalam temasya di Incheon, Korea Selatan empat tahun lalu, dipersoal.

Sekalipun Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menjelaskan kontinjen negara boleh melepasi sasaran itu sehingga 11 emas, ia dianggap tidak setimpal dengan kekuatan 421 atlet yang akan dihantar ke Indonesia.

"Saya lebih gemar kalau kita meletakkan (sasaran)11 pingat emas," kata penerbit kanan berita Nadi Arena, Lukman Salleh, dalam temubual Nadi@1 menjelang Sukan Asia, hari ini.

"Kita seharusnya meletakkan sasaran yang lebih tinggi dalam setiap temasya yang kita sertai," tambahnya.

"Kalau kita letakkan tujuh emas berbanding atlet yang kita hantar, iaitu 421, ia sasaran yang agak kecil.

"Empat tahun lalu, kita hanya menghantar kira-kira 200 atlet, di mana kita mendapat lima emas. Empat tahun sebelum itu juga, kita hanya menghantar 200 lebih juga, kita berjaya mendapat sembilan emas.

"Seperti yang dikatakan Syed Saddiq, kita boleh capai 11 emas. (Tetapi) itu yang sepatutnya sasaran yang perlu diletakkan. Kita perlu sekurang-kurangnya meraih 10 emas ke atas."

Malah, sasaran tujuh emas itu dianggap sebagai "jalan selamat" di sebalik Program Podium menghadapi tekanan untuk kontinjen negara menempatkan diri dalam kelompok 10 negara teratas daripada segi pungutan pingat.

Tambah Lukman, peningkatan sukan di negara ini perlu diukur dengan pungutan pingat dalam mana-mana temasya besar. 

"Negara-negara lain juga akan mengejar pungutan pingat emas. Jadi, mahu atau tidak, kita mesti mendapat 10 emas untuk menunjukkan bahawa sukan kita maju ke depan," katanya lagi. 

Pengumuman sasaran tujuh emas itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam satu upacara khas penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang turut disertai barisan menteri Kabinet di Putrajaya, semalam. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen