ASG: Hoe Yean teruja tugas pembawa bendera

Oleh Staff Writer 16 Julai 2019 1086
ASG: Hoe Yean teruja tugas pembawa bendera
Perenang negara, Khiew Hoe Yean, adalah antara calon pembawa bendera Malaysia dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Semarang, Indonesia bermula Khamis depan. 

Atlet berusia 17 tahun itu akan menjadi individu dari Malaysia yang paling sibuk memandangkan dia bakal menyertai tujuh acara membabitkan gaya bebas, rampaian dan kuak lentang.

Dia juga akan menggalas tugas selaku prospek penyumbang pingat emas dalam penampilan keempat dan terakhir dalam temasya itu, sekali gus diletakkan antara calon pembawa bendera kontinjen negara.

Dalam penampilannya dalam edisi sebelum ini, Hoe Yean sudah meraih tiga perak dan enam gangsa.

"Ia satu peluang terbaik untuk saya selaku pembawa bendera. Ia untuk menunjukkan semangat kesukanan dan bagaimana untuk mewakili Malaysia di negara luar serta bersaing dengan negara lain. Saya akan cuba dapatkan keputusan yang baik," katanya.

Turut dikaitkan untuk tugas itu adalah pelari pecut negara, Mohd Arshad Mohd Saad.

"Sebenarnya, tujuh acara masih bagus tetapi perlu dilihat sama ada saya di prestasi sebenar atau sebaliknya. Saya akan cuba yang terbaik untuk bersaing dalam setiap acara. 

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi, namun ingin cuba sebaik mungkin serta mendapatkan catatan terbaik peribadi, di mana besar kemungkinan berpeluang menyumbang pingat," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen