ASG: Malaysia mudah jinakkan Indonesia dalam suku akhir

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 3655
ASG: Malaysia mudah jinakkan Indonesia dalam suku akhir
Skuad sepak takraw negara berjaya membalas dendam apabila menundukkan Indonesia 2-0 dalam suku akhir acara regu Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) yang berlangsung petang tadi.

Sebelum ini, jurulatih kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani, mendakwa anak buahnya menjadi mangsa sabotaj tuan rumah yang menukar waktu perlawanan peringkat kumpulan acara berpasukan lelaki sebelum Malaysia tewas dalam separuh akhir.

Bagaimanapun, aksi regu yang dibarisi Mohammad Faisal Mohammad Fuad, Noramirul Zarawi dan Afif Jazimin Zainal Abidin berjaya menebus aib apabila menewaskan regu Indonesia yang terdiri daripada Nikolae Dani Saputra, Bintang Aljabar dan Adriansyah.

Malaysia memerlukan tempoh selama 53 minit untuk memenangi pertemuan itu dengan keputusan 21-10, 21-14.

Skuad negara bakal bertemu Filipina dalam separuh akhir dengan harapan mampu melangkah ke final serta meraih emas pertama di pentas ASG.

"Saya tetap yakin dengan kemampuan pemain negara ketika ini kerana mampu menumbangkan Indonesia dengan mudah. Kami juga yakin dapat terus ke final bagi acara regu," kata Futra.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen