Ashraf intai tamatkan kemarau pingat

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 290
Ashraf intai tamatkan kemarau pingat
Atlet ping pong negara, Ashraf Haiqal Rizal, meletakkan harapan untuk membawa pulang pingat pertamanya musim ini apabila bakal menghadapi cabaran Kejohanan Komanwel di India, bulan depan. 

Ahraf menganggap prestasi dalam Kejohanan Jemputan Chengdu, China, sebelum ini menyuntik keyakinannya untuk memburu pingat dalam Kejohanan Komanwel. 

Dalam edisi 2018, Ashraf tewas dalam suku akhir kategori berpasukan setelah menerima tentangan sengit peserta daripada India. 

Selain harapan membawa pulang pingat, atlet kelahiran Segamat, Johor, itu juga mahu merealisasikan harapan jurulatihnya, Mu Tong, yang mula membimbing skuad kebangsaan sejak empat bulan lalu, untuk melangkah ke separuh akhir. 

"Beliau lebih tekankan aspek teknikal dan taktikal dalam perlawanan.

"Sebelum ini, kami tidak ditekankan tentang perkara seperti ini dan saya harap ia akan membuahkan hasil," katanya. 

Untuk penyertaan dalam Kejohanan Komanwel kali ini, dia akan menyertai kategori individu, beregu dan berpasukan.

Tambahnya, dia mahu terpilih mewakili negara ke Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan selain dalam persediaan menghadapi pertandingan akan datang dan mendapatkan slot latihan di China. 

"Dalam edisi kali ini, baik pasukan lelaki mahupun wanita mahu membawa pulang sebarang pingat," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen