Footgolf kini bertapak di Sabah

Oleh Willie Jude 14 Ogos 2019 1649
Footgolf kini bertapak di Sabah
Buat pertama kalinya, sukan footgolf diperkenalkan di Sabah dengan Sutera Harbour Golf and Country Club menjadi perintis.

Nama footgolf mungkin agak jarang didengar, namun ia sebenarnya sudah popular di negara-negara Amerika dan Eropah, malah kejohanan Piala Dunia turut diadakan untuk sukan itu.

Sukan itu sebenarnya adalah gabungan antara permainan bola sepak dan juga golf dengan gelanggangnya di atas padang golf dan dimainkan dengan menggunakan kaki serta bola sepak.

Cara pemarkahan footgolf juga dikira sama seperti permainan golf, namun terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh pemain, termasuk cara atau teknik menyepak bola.

Pengurus Besar Sutera Harbour Golf and Country Club, Rick Blackie, berkata idea untuk membawa sukan itu ke Negeri Di Bawah Bayu timbul selepas rakannya, Jason Winter, yang juga pengasas footgolf di Malaysia memberi cadangan kepadanya supaya turut memperkenalkan sukan berkenaan di Sabah. 

"Antara tujuan sukan footgolf itu diperkenalkan di Sutera Harbour Golf and Country Club adalah untuk memberi kelainan dan pilihan kepada ahli kelab di situ daripada sekadar bermain golf.

"Di samping itu juga, saya berharap peminat sukan bola sepak atau futsal di negeri ini akan datang untuk merasai sendiri cabaran bermain bola di atas padang golf dengan beberapa peraturan baru, termasuk sistem pemarkahan seperti golf," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, semalam.

Blackie berkata pihaknya mungkin merancang untuk mengadakan kejohanan liga footgolf di masa akan datang seperti mana yang dibuat negara-negara luar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. 

"Ya, memang kami bercadang untuk itu (liga footgolf) dan harapan kami apabila beroperasi sepenuhnya pada Oktober depan, ia semakin mendapat sambutan dan bolehlah kami menganjurkan liga.

"Buat masa ini, sukan berkenaan hanya dijalankan secara sembilan lubang, namun ia mungkin akan diperbesarkan kepada 18 lubang pada masa akan datang selain menyediakan kemudahan lampu limpah bagi membolehkan liga footgolf yang dirancang nanti dimainkan pada waktu malam," tambahnya.

Dia juga menambah footgolf mungkin dianggap permainan yang mudah oleh sesetengah orang, terutama mereka yang bermain golf, namun sebenarnya ia bukan semudah yang disangka kerana ia juga memerlukan teknik yang betul serta perlu mematuhi beberapa peraturan ditetapkan.

"Sedihnya ada orang menganggap sukan golf dianggap sebagai permainan orang tua dan bola sepak adalah permainan paling popular di dunia. Oleh sebab itu, kami gabungkan dua sukan ini dan harap ia akan menjadi kegemaran orang muda.

"Antara tujuannya juga kami harap sukan ini menjadi satu riadah untuk keluarga, sambil mereka bermain footgolf, anak-anak mereka boleh berjalan serta berseronok bersama."

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen