GP FINA: Brooker tidak bimbang senarai penerjun muda

Oleh Staff Writer 13 November 2019 49
GP FINA: Brooker tidak bimbang senarai penerjun muda
Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, tidak bimbang dengan keputusan barisan kejurulatihannya untuk tidak menurunkan empat atlet utama dalam Grand Prix Terjun FINA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hujung minggu ini.

Empat penerjun itu ialah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri, yang kini di berada di China untuk menjalani latihan di bawah kendalian Li Rui dan hanya akan pulang ke tanah air esok.

Baginya, tiada keperluan untuk mempertaruhkan kudrat keempat-empat penerjun itu memandangkan mereka sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Brooker mahu menggunakan kesempatan itu untuk menguji kemampuan penerjun muda yang akan mewakili negara dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

"Apa yang baik ialah mereka sudah layak lebih awal ke Sukan Olimpik, jadi kami boleh melakukan preancangan lebih awal.

"Penerjun yang sudah layak tidak akan menyertai kejohanan ini.

"Mereka tidak memerlukan lebih persediaan untuk menghadapi kejohanan kelayakan yang seterusnya.

"Jadi, kami boleh memanjangkan tempoh latihan mereka dan merancang strategi terbaik sebelum ke Tokyo," katanya.

Antara yang akan bersaing di Pusat Akuatik Nasional ialah Loh Zhiayi, yang akan membuat penampilan kedua tahun ini.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan harap-harap saya dapat melakukan setiap terjunan dengan baik.

"Kemudian kita akan lihat apa yang saya dapat raih (daripada kejohanan ini)," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen