Jelajah Remaja Malaysia: Mirzan gembira kualiti pemain

Oleh Azizan Hashim 11 November 2019 105
Jelajah Remaja Malaysia: Mirzan gembira kualiti pemain
Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir, gembira melihat kualiti permainan yang dipamerkan oleh peserta muda negara dalam Jelajah Tenis Remaja Malaysia sirkit kelapan yang berakhir di Arena Tenis Perak, Ipoh, semalam.

Mirzan berpendapat mutu permainan pemain muda negara semakin meningkat berikutan penganjuran pelbagai kejohanan.

|Beliau menganggap usaha LTAM menganjurkan lebih banyak kejohanan tempatan sejak empat tahun kebelakangan ini telah menampakkan hasil.

Katanya, pada tahun ini TennisMalaysia telah berjaya menganjurkan sebanyak 31 kejohanan tempatan dan antarabangsa.

TennisMalaysia seterusnya bakal mengorak langkah yang lebih besar dengan penambahan empat lagi kejohanan antarabangsa yang bakal dianjurkan tahun depan.

Justeru, Mirzan mengharapkan lebih banyak penaja tampil untuk menyumbangkan dana dalam memastikan kejayaan penganjuran dan sekali gus menyaksikan lebih ramai pemain tenis negara berada di persada antarabangsa.

Kejohanan Jelajah Remaja 2019 diadakan sebanyak lapan sirkit kesemuanya dan kejohanan di Ipoh itu adalah yang terakhir untuk tahun ini.

Ramai peserta mengambil kesempatan dalam memastikan tambahan mata ranking bagi menempatkan diri mereka untuk bertanding dalam Kejohanan Masters TennisMalaysia 2019 di Kompleks Tenis Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 10-14 Disember ini.

Lapan pemain terbaik sahaja dalam ranking Jelajah Remaja dalam setiap kategori (10 kategori) layak ke saingan Masters itu.

Kategori terbuka lelaki dan perempuan juga akan dipertandingkan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen