Joo Ngan: MSN punya hak lantik jurulatih 

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2018 1320
 Joo Ngan: MSN punya hak lantik jurulatih 
Bekas atlet berbasikal trek negara, Datuk Ng Joo Ngan, tidak berasakan ia satu masalah seandainya Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil inisiatif awal menyunting Josiah Ng untuk melatih skuad negara tanpa melalui Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Kebiasaannya, pihak persatuan akan mencadangkan nama kepada MSN untuk mengupah jurulatih.

Namun, Joo Ngan berpendapat jika MSN mempunyai dana dan bersetuju dengan syarat yang diletakkan Josiah untuk melatih skuad negara, ia tidak sepatutnya menjadi masalah dengan mengambil kira faktor kewangan PKBM yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, keputusan mestilah dibincangkan bersama tanpa membelakangkan PKBM. 

Difahamkan, Josiah sudah pun mengadakan pertemuan dengan pihak MSN, Rabu lalu.

"Sekiranya Josiah ingin menyertai PKBM, persoalannya adakah PKBM mempunyai dana atau tidak?

"Oleh itu, saya berasakan sekiranya Josiah menyahut tawaran MSN, maka dia berpeluang untuk bekerjasama dengan PKBM.

"Saya tidak berasakan terdapat sebarang masalah mengenai hal ini, ini hanyalah isu kecil," ujarnya. 

Dalam masa sama, Joo Ngan menawarkan dirinya menjadi orang tengah untuk berbincang dengan John Beasley bagi memujuk ketua jurulatih negara itu membawa Fatehah Mustapa kembali berlatih di Melbourne, Australia.

Prestasi Fatehah kembali mencuri perhatian selepas meraih dua perak dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara tempoh hari kerana sebelum ini prestasinya kian merosot sehingga namanya digugurkan daripada menyertai Sukan Asia Indonesia.

"Fatehah pernah mengakui kesilapannya kepada saya.

"Ini sesuatu yang penting apabila dia menyedari kesilapan yang telah dilakukannya. 

"Saya berasakan bukan menjadi masalah sekiranya dia mahu berbincang dengan Beasley.

"Kalau dia mahu, saya bersedia untuk bercakap dengan Beasley bagi pihaknya," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen