Karate-do Kebangsaan: MAKAF pantau atlet berkualiti 

Oleh Staff Writer 22 Mac 2019 583
Karate-do Kebangsaan: MAKAF pantau atlet berkualiti 
Penganjuran edisi ke-39 Kejohanan Karate-do Kebangsaan 2019 yang terbuka kepada wakil bukan ahli gabungan dan kelab menjadi pelantar amaran buat atlet kebangsaan yang tidak mempamerkan prestasi sebenar, sebaliknya pentas buat mereka yang serius ingin ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) menetapkan semua atlet kebangsaan perlu muncul juara dalam kempen di Serdang itu hujung minggu ini atau berdepan risiko digugurkan.

Begitupun, dengan penyertaan lebih 200 atlet dalam edisi kali ini, ia berfungsi sebagai permulaan untuk MAKAF mengelak daripada terus bergantung kepada seorang individu sahaja dalam kejohanan utama dan kelayakan Sukan Olimpik.

Secara keseluruhannya, sebanyak 17 kategori akan dipertandingkan, termasuk kumite wanita bawah 61kg yang menampilkan atlet kontroversi, Syakilla Salni Jeffery Krishnan.

"Kejohanan ini diadakan setiap tahun, cuma dalam edisi kali ini, kami membuka penyertaan kepada kelab dan bukan ahli gabungan kerana kami berpendapat sekiranya ingin mencungkil bakat yang bagus, kami tidak harus melakukannya di satu tempat sahaja. 

"MAKAF mendapati apabila ketandusan atlet berlaku ekoran kecederaan, negara tidak dapat berikan persembahan yang baik," kata Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Pada masa sama, Nur Azmi mengesahkan belum ada perancangan untuk mendapatkan kembali khidmat bekas tonggak negara, R. Puvaneswaran, yang menamatkan kontrak kejurulatihan bersama Thailand.

"Kami pernah berhasrat untuk melantik beberapa penolong jurulatih lagi tetapi oleh kerana MAKAF sebuah persatuan yang kecil, kami berdepan kekangan sementara Majlis Sukan Negara (MSN) juga tidak dapat menampung kos kejurulatihan," katanya lagi. 




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen