Kejohanan Dunia IPC: Latif gagal pertahan emas

Oleh Staff Writer 13 November 2019 425
Kejohanan Dunia IPC: Latif gagal pertahan emas
Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, bangkit mengatasi kecederaan buku lali sebelum gagal mempertahankan pingat emas kategori T20 dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Misinya untuk mencipta kejayaan hatrik dalam Kejohanan Dunia tidak kesampaian walaupun turun selaku pilihan utama kategori T20 (masalah pembelajaran).

Abdul Latif ditimpa kecederaan buku lali ketika lompatan kedua sehingga menjejaskan prestasinya untuk berdepan 14 pencabar lain.

Atlet kelahiran Perlis itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas melakukan lompatan sejauh 7.24 meter.

Pingat emas milik atlet Belanda, Ranki Oberoi, dengan catatan 7.39m yang juga rekod baru kejohanan sementara wakil Ecuador, Chala Espinoza, meraih gangsa dengan jarak 6.88m.

"Kecederaan itu agak mengganggu dan saya sudah memaksa (diri) sehabis mungkin.

"Saya tidak dapat melakukan lompatan seperti biasa," katanya.

Pencapaian itu bermakna Malaysia hampir pasti gagal meraih sebarang pingat emas di Dubai.

Terdahulu, dua lagi jaguh para negara, Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Mohd Ridzuan Puzi (100m T36), masing-masing sekadar meraih pingat perak dan gangsa.

"Kalau kita bandingkan prestasinya dengan pemenang pingat emas, lompatan (Oberoi) yang lain tidak sampai tujuh meter," tambah jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi.

"Latif mengekalkan lompatan tujuh meter tetapi keadaan buku lalinya tidak mengizinkannya untuk beraksi baik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen