Kejohanan tempatan pelantar ujian Zaidatul

Oleh Staff Writer 12 Mac 2018 84
Kejohanan tempatan pelantar ujian Zaidatul
Dua kejohanan kebangsaan menanti ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang menjadi sebahagian daripada latihan fasa akhir untuknya sebelum terbang ke Gold Coast bagi Sukan Komanwel 2018, bulan depan.

Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 18 Mac dan Perak All Comers 2018 bermula 24 Mac ini bakal ditempuh Zaidatul terlebih dahulu yang dianggap satu peluang terbaik untuknya mendapatkan suasana kejohanan bagi mengatasi rasa gemuruh sebelum ke Gold Coast.

Memandangkan tiada latihan di luar negara untuknya sebagai persiapan ke Sukan Komanwel, dua saingan terdekat itu diharap sedikit-sebanyak membantu prestasi di mana Sukan Insititusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 merupakan kejohanan pertama disertainya tahun ini.

"Kepantasan itu dah ada, cuma saya perlu bekerja keras lagi.

"Sekarang ini saya sudah memasuki fasa latihan menghadapi kejohanan.

"Saya banyak berlatih menggunakan kekuatan," kata Zaidatul.

Untuk memastikan emosinya tidak terganggu, pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 tidak melihat kepada catatan masa yang dilakukan ketika sesi latihan memandangkan dia menyedari misi utamanya di Gold Coast adalah memperbaharui rekod terbaik, 11.45 saat.

"Kalau kita terlalu ikutkan catatan dalam latihan, secara tidak langsung moral kami akan menurun. 

"Lebih baik ia tidak didedahkan jurulatih manakala saya fokus membetulkan teknik larian saya," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen