Koronavirus: Andre Anura mohon lampu hijau bertanding di Australia 

Oleh Staff Writer 27 Januari 2020 224
Koronavirus: Andre Anura mohon lampu hijau bertanding di Australia 
Jaguh lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, memohon Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) agar mempertimbangkan permohonannya untuk menyertai dua kejohanan di Australia dalam misi melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Kejohanan Dalam Dewan Asia di China dibatalkan.

Skuad olahraga terpaksa berputih mata apabila dua kejohanan tahun ini telah dibatalkan.

Kejohanan Dalam Dewan Asia di Hangzhou yang sepatutnya bermula 12 Februari depan itu dibatalkan ekoran penularan wabak koronavirus.

Terdahulu, mereka terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dalam Dewan Bahe Fair di Tehran, Iran, ekoran konflik ketenteraan.

Lantas, atlet berumur 21 tahun itu meminta KOM supaya mempertimbangkan permohonannya untuk menyertai dua kejohanan di Australia bulan depan.

"Kedua-dua kejohanan ini merupakan sasaran utama saya kerana tahapnya seperti Sukan SEA. 

"Saingan dalam kejohanan tersebut juga sengit," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 

Jika permohanannya ditolak, atlet olahraga, bagaimanapun, masih mempunyai kejohanan tempatan, iaitu Kejohanan Perak All Comers bulan depan tetapi dengan tahap saingan lebih rendah.

Pemegang rekod kebangsaan dengan 8.02m itu perlu melepasi jarak 8.22m untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Saya sudah bersedia sejak awal tahun lagi dan gigih berlatih. 

"Oleh kerana dua kejohanan di luar negara sudah dibatalkan, jadi saya hanya akan menghadapi kejohanan di dalam negara sahaja setakat ini," tambahnya.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen