Lebih ramai atlet layak ke Tokyo hujung tahun ini -- Syed Saddiq

Oleh Bernama 16 Julai 2019 164
Lebih ramai atlet layak ke Tokyo hujung tahun ini -- Syed Saddiq
Bilangan atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijangka bertambah menjelang akhir tahun ini berikutan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan ketika ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, beliau telah diberikan taklimat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan beberapa persatuan sukan yang menyatakan keyakinan atlet di bawah kendalian mereka mampu layak ke Tokyo.

Daripada taklimat berkenaan, hoki lelaki dan wanita adalah antara acara yang dilihat berpotensi menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.

"Fokus utama kami adalah memastikan hanya mereka yang berkelayakan dipilih untuk mewakili negara,” katanya selepas majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Putrajaya, hari ini.

Syed Saddiq dalam pada itu berkata kejayaan gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo perlu dijadikan inspirasi oleh atlet lain yang sedang memburu tempat ke temasya itu tahun depan.

"Kami harap prestasi itu dapat terus ditingkatkan," katanya ketika mengulas kejayaan gandingan negara itu meraih pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA Ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, kelmarin yang melayakkan mereka ke Tokyo.

-- BERNAMA 

Tentang Penulis

Bernama

Komen