Luqman Hakim korbankan Aidilfitri

Oleh Staff Writer 14 Jun 2018 558
Luqman Hakim korbankan Aidilfitri
Atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan, terpaksa melupakan sambutan hari raya Aidilfitri bersama keluarga selepas mengambil keputusan untuk menyertai saingan Terbuka Korea yang bermula Sabtu ini.

Catatan 7.82 meter yang dilakukan Luqman dalam kejohanan All Comers Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan menyaksikannya tersenarai ke Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Dia yang kini dalam persiapan untuk ke temasya berkenaan bertekad mengekalkan momentum sambil beberapa lagi pertandingan berada dalam perancangannya.

"Ini adalah pengalaman pertama saya kerana sebelum ini tidak pernah melalui situasi begini. Jadi, saya akan berkorban pada hari raya tahun ini. 

"Bagi saya, ia bukan satu halangan untuk saya beraksi dan berkorban untuk negara ketika hari raya," katanya.

Penyertaan Luqman ke Sukan Asia kali ini jelas menebus kekecewaan tersendiri buat dirinya. 

Dia merupakan atlet terawal untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2014 di Incheon tetapi namanya digugurkan ekoran kecederaan.

Berbekalkan pencapaiannya ketika ini, tidak mustahil rekod kebangsaan selama 11 tahun yang dipegang Josbert Tinus, iaitu 7.88m, mampu dipecahkan.

"Untuk memecahkan rekod kebangsaan, saya perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu kerana keupayaan kita masih belum dilihat sepenuhnya.

"Saya rasa saya boleh, cuma keadaan prestasi saya yang memainkan peranan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen