McGregor tidak layak dapat perlawanan ulangan -- Khabib

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 5944
McGregor tidak layak dapat perlawanan ulangan -- Khabib
Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov, tidak bercadang untuk mengadakan perlawanan ulangan dengan Conor McGregor selepas memperoleh kemenangan dominan, Oktober lalu.

Nurmagomedov membelasah McGregor dalam perlawanan UFC 229 itu yang ditamatkan dengan gerakan "rear-naked choke" dalam pusingan keempat.

McGregor mengumumkan persaraannya daripada sukan tempur campuran (MMA) itu Mac lalu sebelum menarik balik keputusan itu dengan Nurmagomedov melabel pencabar dari Ireland itu sebagai "isteri yang cemburu".

Bagaimanapun, kebarangkalian untuk perlawanan semula diadakan amat tipis selepas jaguh Russia berkenaan menegaskan McGregor tidak layak untuk bertarung dengannya selepas apa yang terjadi sebelum ini.

"Apa yang berlaku pada 6 Oktober lalu ialah permulaan buat legasi saya. Saya amat teruja untuk kembali beraksi," katanya dalam sidang media menjelang pertarungannya dengan penyandang juara lightweight, Dustin Poirier, dalam perlawanan UFC 242, September depan.

"Sepanjang tiga tahun ini, McGregor hanya memenangi satu perlawanan tinju amatur.

"Bagaimana dia layak untuk mendapatkan perlawanan semula?

"Dia menyentuh saya, merayu kepada saya, 'tolonglah jangan bunuh saya' dan sekarang dia bercakap tentang perlawanan semula?

"Tony Ferguson layak, pencabar dengan rekod tanpa kalah layak, bukan seseorang yang tidak melakukan apa-apa sepanjang tiga tahun ini.

"Saya banyak perkara lain untuk dilakukan.

"Buat masa ini, saya hanya fokus untuk pertarungan pada 7 September depan," katanya.

April lalu, bos UFC, Dana White, memberikan amaran kepada McGregor dan Nurmagomedov susulan pertelingkahan mereka dalam laman sosial.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen