Nixson tekad pertahankan gelaran

Oleh Staff Writer 9 Oktober 2017 206
Nixson tekad pertahankan gelaran
Atlet olahraga negara, Nixson Kennedy, melaungkan amaran awal untuk mempertahankan gelaran raja pecut menjelang Kejohanan Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2017 di Lumut, Perak, bermula Rabu ini.

Kejohanan ATM merupakan aksi terakhir buat Nixson mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tahun ini dan dia tidak memandang rendah tentangan yang bakal diterimanya.

Nixson juga berhasrat untuk memperbaiki catatan peribadi 10.43 saat yang dilakukannya dalam KejohananTerbuka Korea Selatan, Jun lalu.

Saingan di Lumut menyaksikan Nixson akan beraksi dalam dua acara, 100m dan 4x100m.

“Saya punya sasaran adalah untuk mengekalkan gelaran raja pecut yang saya raih tahun lalu.

“Setiap pelari lebih kurang sama sahaja. Sukan SEA 2017 baru selesai, jadi masing-masing memang melakukan persiapan dan fokus untuk Kejohanan Terbuka ATM kerana selepas aksi di Lumut, kami sudah tiada sebarang kejohanan,” katanya.

Nixson merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100m negara yang memecahkan rekod kebangsaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sementara itu, seorang lagi atlet TLDM yang juga jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, pula memburu kemenangan hatrik dalam saingan kali ini walaupun dalam masa sama, dia mengakui tidak berada dalam prestasi terbaik ekoran kurang masa latihan.

Dia merupakan pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan balingan sejauh 65.90 meter dalam Sukan SEA 2017, sekaligus mencipta rekod baru kejohanan.

“Kali ini, saya akan cuba menyumbangkan pingat emas kepada TLDM sebagai bakti saya selepas Sukan SEA 2017. Saya baru menamatkan cuti selama dua minggu, jadi sesi latihan tidak dapat dilalui sepenuhnya, termasuk latihan intensif," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen