Pengguguran skuasy: Nik Razeen terkejut keputusan IOC

Oleh Staff Writer 22 Februari 2019 849
Pengguguran skuasy: Nik Razeen terkejut keputusan IOC
Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Daud, terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menggugurkan acara itu dan memasukkan breakdance dalam senarai akhir Sukan Olimpik Paris 2024 .

Skuasy pada awalnya dianggap sukan pilihan untuk ke Paris 2024.

Ia berdasarkan keputusan tiga edisi terdahulu apabila skuasy sentiasa berada dalam senarai akhir.

Bagaimanapun, IOC membuat keputusan mengejutkan apabila menggugurkan skuasy dan menyenaraikan empat sukan ekstrem, iaitu mendaki, papan selaju, luncur air dan breakdance.

Ia menambah kekecewaan SRAM selepas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, mengumumkan akan bersara pada Jun depan.

IOC akan bersidang, Jun depan sebelum memuktamadkan senarai empat sukan tambahan yang akan diumumkan pada Disember 2020 -- empat bulan selepas Sukan Olimpik Tokyo tamat.

"Kami akan terus berusaha.

"Saya yakin pihak Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) akan terus berusaha untuk mendapatkan tempat.

"Skuasy sememangnya sukan baru dan diperkuatkan oleh pemain-pemain muda.

"Tiada apa yang kami mampu lakukan terhadap keputusan itu dan kami perlu melupakannya," katanya

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menggerakkan sukan baru yang tersenarai ke Paris 2024.

"Kami masih berharap sukan tersebut akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

"Walaupun skuasy tidak dipertandingkan, kami tetap akan memberikan bantuan kepada mereka bagi menghadapi Sukan Asia 2022 nanti.

"Bagi empat sukan yang dinamakan itu, kami masih perlu menunggu sehingga senarai akhir diputuskan IOC untuk kami memulakan perbincangan dengan pihak persatuan dan menyediakan program latihan buat mereka," kata Pengarah Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen