Perancangan rapi diperlukan untuk hadapi Siri Asia 2019

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2018 661
Perancangan rapi diperlukan untuk hadapi Siri Asia 2019
Jurulatih skuad ragbi 7s wanita negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, mahu perancangan lebih rapi dapat dilakukan sebagai persediaan bagi Kejohanan Siri Asia 2019.

Malaysia layak ke Kejohanan Siri Asia buat kali pertama selepas menjuarai Kejohanan Trofi Asia 2018  di Brunei Darussalam, Ahad lalu.

Kejayaan itu diperoleh selepas menewaskan Filipina dalam final, mengatasi sasaran awal separuh akhir yang diletakkan oleh Nik Safuan.

Lebih membanggakan, ia diperoleh dengan menggunakan pemain baru selepas hanya seorang pemain daripada skuad Sukan SEA 2017, Rozliana Mohd Ridwan, dikekalkan di samping tempoh persiapan penuh kurang daripada sebulan.

"Kami memerlukan pendedahan di luar negara. Ia akan membantu pasukan menyesuaikan diri dengan permainan yang lebih intensif kerana ia membantu pasukan mengetahui kebolehan saingan utama seperti Hong Kong, China dan Korea Selatan," kata Nik Safuan.

Sementara itu, Nik Safuan juga berharap skuad negara dapat merapatkan jurang dengan Thailand dan Singapura yang merupakan kuasa utama di rantau Asia Tenggara.

Walaupun penyenaraian acara ragbi wanita 7s dalam Sukan SEA 2019 Filipina masih belum dimuktamadkan, Malaysia tetap bersedia untuk menggugat dua negara berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada edisi 2017.

"Kami meletakkan sasaran untuk mengejar Singapura. Malaysia masih lagi ketinggalan kepada Thailand kerana mereka merupakan antara pasukan terkuat di Asia."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen