Program persiapan jadi penentu 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Mac 2020 26
Program persiapan jadi penentu 
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, memberi jaminan akan memperjuangkan nasib 12 atlet negara yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Perkara itu akan dibuat menerusi sidang video bersama Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) esok.

"Pengumuman (penundaan Sukan Olimpik) baru berlaku dua hari lalu.

"Masih banyak perkara yang kami belum jelas terutama melibatkan kejohanan kelayakan dan hasil perbincangan IOC dan Persekutuan Sukan Antarabangsa (IFs).

"Kami akan mengadakan sidang video di antara IOC dan badan-badan Olimpik yang terlibat mengenai proses kelayakan dan kedudukan atlet yang telah layak.

"6,000 atlet sudah pun layak manakala baki 43 peratus lagi masih belum.

"Kepastian terhadap proses kelayakan belum kami terima dengan terperinci, namun (slot) atlet yang telah layak dijamin oleh IOC.

"Namun, kita perlu tunggu penjelasan selanjutnya terutama dialog MOM dan IOC termasuk dialog IOC dan badan-badan sukan antarabangsa," katanya ketika ditemu bual wartawan, Bazly Azmi

IOC akan mengadakan perbincangan dengan semua 33 persekutuan sukan antarabangsa dalam usaha cari jalan terbaik mengadakan kempen kelayakan.


Sementara itu, ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh, mengesahkan kedudukan Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke Jepun belum terjamin.

Badan induk itu akan mengadakan mesyuarat khas menerusi sidang video, 2 April depan untuk mencari jalan terbaik bagi memastikan mereka yang sudah layak berada di tahap terbaik ketika temasya tahun depan.

"Kempen kelayakan sudah pun tamat selepas Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman, Februari lalu.

"Saya yakin dan kami akan pertahankan habis-habisan agar atlet yang telah (menyambar) kuota kelayakan yang telah ditetapkan UCI patut diberi peluang untuk mengambil bahagian," katanya. 

Dalam masa sama, jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai, berpendapat atlet pasti tidak dapat lari daripada rasa terkilan namun ia juga boleh dilihat daripada sudut positif.

"Kami sudah mempunyai perancangan dan ia agak mengecewakan Farah Ann Abdul Hadi memandangkan sudah membuat persiapan termasuk keluarganya juga sudah bersedia untuk memberi sokongan kepadanya di Jepun kelak. 

"Tetapi situasi ini memberi kesempatan untuknya membuat persiapan lebih rapi," katanya.

Menurut atlet pelayaran negara, Juni Karimah Noor Jamali, yang layak menerusi kategori International 470 bersama gandingannya, Nuraisyah Jamil, pula: "Saya berasa tidak adil kalau jadi macam ini (proses kelayakan semula) tetapi saya akan terus berusaha untuk merebutnya sekiranya ditetapkan begitu."

Dalam perkembangan sama, pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, menganggap adalah tidak adil untuk mewujudkan semula kempen kelayakan bagi atlet yang sudah layak lebih awal.

Ini kerana kumpulan atlet itu sudah melepasi fasa kemuncak prestasi menerusi program yang mengambil masa berbulan-bulan untuk dirangka.

"Tidak adil sekiranya mata kelayakan (dikira) semula.

"Kebiasaannya proses mata kelayakan mengambil masa selama setahun hingga setahun setengah.

"Sekiranya kurang dari setahun dan mata kelayakan dikira daripada kosong semula, ia tidak adil untuk atlet yang telah layak. 

"Saya tidak jangka akan ada kelayakan semula tetapi ia akan memberi kesan kepada atlet untuk mengekalkan prestasi di tahap yang tertinggi," katanya. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen