Renang: Jinq En rela keluar duit sendiri 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Mei 2020 100
Renang: Jinq En rela keluar duit sendiri 
Phee Jinq En sanggup mengeluarkan modal sendiri sekurang-kurangnya RM40,000 bagi tempoh setahun jika perlu!

Selepas empat tahun menetap di Amerika Syarikat (AS), perenang berusia 22 tahun itu mengambil keputusan untuk terus berada di sana meskipun bakal menamatkan pengajian bulan depan. 

Begitupun, Jinq En tidak memperlekehkan kemampuan menjalani program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) di Malaysia, namun mempunyai sebab tersendiri mengenai keputusannya itu. 

"Saya sudah berlatih dan belajar di sini selama empat tahun.

"Saya sudah serasi dengan program latihan di sini. Terdapat hampir 30 pelatih bersama-sama saya dan kami mempunyai matlamat yang sama. 

"Oleh kerana tinggal setahun lagi menjelang ke temasya Tokyo 2021, saya rasa (langkah untuk kekal) adalah berpatutan. 

"Saya juga tidak pasti dengan kaedah latihan jurulatih kebangsaan, Chris Martin, (di Kuala Lumpur) tetapi program latihan di sini sudah terbukti," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah.




Berdasarkan pelan asal, dia sepatutnya berada di AS sehingga Julai depan sebagai persiapan melayakkan diri ke temasya berprestij, Sukan Olimpik Tokyo, sebelum ia ditunda ke 2021.

Justeru, pemegang rekod kebangsaan bagi acara 50 dan 100 meter kuak dada wanita itu perlu mula membayar sendiri program latihannya di sana sebaik visa pelajarnya tamat sebaik bergelar graduan. 

"Oleh kerana saya menuntut di sini maka segalanya dibiayai tetapi sebaik habis pengajian, saya perlu mendapatkan dana sama ada menerusi penajaan, kerajaan ataupun pengajian untuk menuju ke Sukan Olimpik. 

"Ia merangkumi kos sewa, makanan, latihan dan semua itu menelan kos USD10,000, iaitu kira-kira RM40,000", tambahnya.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen