Roslinda berguru di Jerman demi masa depan lompat galah negara 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Mei 2020 617
Roslinda berguru di Jerman demi masa depan lompat galah negara 
Bekas atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, menganggap pengorbanan terpaksa beraya di Jerman berikutan penularan wabak novel koronavirus (Covid-19) berbaloi selepas dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Diploma Kejurulatihan di Universiti Johannes Gutenberg, Mainz. 

Sebaliknya, apa yang lebih menggusarkannya adalah situasi sukan yang dicintainya itu di Malaysia. 

"Beraya di perantauan adalah satu perkara yang menyedihkan kerana tanpa keluarga (di sisi).

"Tetapi saya sedia maklum apabila mengambil kursus di sini yang akan berakhir Julai depan. 

"Saya sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk beraya di perantauan pada tahun ini," katanya dalam satu video eksklusif bersama wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.



Bekas atlet kelahiran Kedah itu mengakui bimbang dengan ketandusan bakat di Malaysia.

Dia mengambil inisiatif dengan menyambung pengajian di peringkat diploma kejurulatihan di negara Eropah itu selama setahun, sekali gus mahu membantu membangunkan barisan atlet lompat bergalah negara. 

"Prestasi lompat bergalah di Malaysia terutama di peringkat kebangsaan agak hambar kerana kami kekurangan atlet pelapis di peringkat kebangsaan. 

"Jurulatih tempatan yang betul-betul aktif di Malaysia sekarang terdiri daripada lima orang. Kami memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan bakat-bakat baru dalam acara ini.

"Ini kerana untuk mengendalikan (acara lompat galah) di seluruh Malaysia dengan hanya lima jurulatih memang sukar, tetapi kami jadikan ia sebagai satu cabaran," tambahnya. 

Untuk rekod, Roslinda pernah mengharumkan Malaysia dengan meraih pingat emas Kejohanan Asia 2010, perak dalam Sukan Asia 2006 selain empat emas Sukan SEA.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen