Sukan SEA: Malaysia yakin Filipina tiada masalah penganjuran

Oleh Staff Writer 16 Julai 2019 774
Sukan SEA: Malaysia yakin Filipina tiada masalah penganjuran
Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) belum membina venue skuasy dan boling padang, namun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, yakin temasya November depan itu tidak akan terjejas.

PHISGOC memberi jaminan penganjuran Sukan SEA 2019 mengikut jadual asal walaupun beberapa venue belum dibina.

Kerja-kerja pembinaan venue skuasy dan boling padang belum dimulakan selain kemudahan pasang siap seperti petanque, memanah dan lapangan berhalangan.

Chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sudah mengadakan lawatan persiapan temasya dan akan menerangkan kepada beberapa pengurus sukan, hari ini.

"Memang ada banyak venue perlukan persiapan lagi tetapi kami tahu masih ada masa. Venue itu juga boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu dan kami harap ia dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah," kata Nazifuddin.

"Diharapkan dengan sokongan Malaysia, Filipina dapat menjayakan Sukan SEA terbesar."

Sukan SEA Filipina 2019 bakal mencatat sejarah temasya paling banyak menganjurkan acara, iaitu 56 jenis sukan, sambil Malaysia akan menyertai 51 daripadanya, namun dijangka terlepas gelaran juara keseluruhan.

Temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu menyaksikan 38 jenis sukan dipertandingkan dan Malaysia muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen