Sukan SEA: Pengguguran Komalam wajar

Oleh Staff Writer 9 Ogos 2017 3299
Sukan SEA: Pengguguran Komalam wajar
Chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin, menganggap keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menggugurkan S. Komalam Shally pada saat-saat akhir adalah wajar jika benar ia dilakukan atas faktor disiplin.

KOM semalam mencetuskan kejutan apabila mengambil keputusan menggugurkan pelari pecut berkenaan meskipun temasya itu bakal membuka tirainya kurang 10 hari sahaja lagi.

Menurut Marina, jika benar Komalam berdepan masalah disiplin seperti yang dilaporkan oleh KOM, maka ia adalah wajar untuk mereka membuat keputusan itu.

Selain itu, Marina percaya KOM sudah meneliti perkara itu selepas dikatakan sudah beberapa kali memberi nasihat dan amaran kepada atlet terbabit.

"Dalam pasukan mana sekalipun, kita ada SOP (prosedur operasi standard) untuk disiplin. Kalau ada seseorang itu bagus berpotensi meraih emas sekalipun, jika tidak berdisiplin dan tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan, persatuan harus melakukan sesuatu," katanya.

Marina ditemui ketika melakukan lawatan ke sesi latihan pasukan boling padang dan bola jaring negara di Bukit Kiara, hari ini.

Dia melihat dua sukan ini turut tidak ketinggalan akan mencuri tumpuan, terutama bola jaring yang menarik minat penonton selepas tiketnya habis dijual.

"Penyokong Singapura memang ramai akan datang tetapi atlet bola jaring ini sudah biasa dengan keadaan sedemikian kerana mereka mempunyai banyak pendedahan bermain di luar," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen