Sukan Universiti Dunia: Cabaran Jonathan berakhir

Oleh Bernama 10 Julai 2019 13040
Sukan Universiti Dunia: Cabaran Jonathan berakhir
Cabaran jaguh pecut negara, Jonathan Nyepa, dalam acara separuh akhir 100m lelaki Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali menemui noktah awal pagi tadi.

Atlet berusia 23 tahun itu gagal menyaingi catatan 10.47 saat yang dilakukannya dalam pusingan pertama selepas sekadar mencatat 10.59s untuk menamatkan saingan separuh akhir acara reben biru itu di tempat keenam.

“Saya berpuas hati sebab boleh sampai ke separuh akhir. Apapun, syukurlah walaupun tadi banyak kali 'false start',” katanya.

Seorang lagi jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, bagaimanapun, terkandas dalam pusingan pertama.

Atlet kelahiran Melaka itu, yang kembali ke pentas kejohanan selepas berehat tujuh bulan kerana mendapatkan rawatan dan pembentukan fizikal, mencatat masa 10.70s, jauh daripada catatan masa terbaik dan rekod kebangsaannya ,10.18s, untuk menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan kedua, semalam.

Sementara itu, dua lagi atlet olahraga negara -- Muhammad Aqil Yasmin dan Russel Alexander Nasir Taib -- akan beraksi dalam acara 200m, hari ini.

Khairul Hafiz dan Jonathan seterusnya akan bergandingan dengan Muhammad Aqil dan Russel dalam acara 4x100m, Jumaat ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen