Terjun Grand Prix FINA: Malaysia tamatkan saingan dengan tiga emas

Oleh Staff Writer 18 November 2019 309
Terjun Grand Prix FINA: Malaysia tamatkan saingan dengan tiga emas
Malaysia menutup kempen Kejohanan Terjun Grand Prix FINA Kuala Lumpur 2019 dengan mengaut tiga emas, satu perak dan dua gangsa biarpun tanpa tonggak utama, menjadikan kem negara masih dalam persiapan terbaik untuk ke Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Emas terakhir kem negara disumbangkan gandingan eksperimen, Syafiq Puteh dan Wendy Ng, menerusi acara 3 meter papan anjal campuran seirama.

Sebelum itu, Ooi Tze Liang menjadi penyumbang emas pertama negara dalam acara individu 3m papan anjal dan kemudian menambah satu lagi menerusi gandingannya bersama Chew Yiwei dalam 3m papan anjal seirama lelaki.

Ia pencapaian yang membanggakan dengan mengambil kira ketiadaan atlet utama seperti Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee.

"Markah saya lebih baik berbanding saingan di Gold Coast sebelum ini. Ini adalah permarkahan yang bertaraf Kejohanan Dunia, jadi ia membuatkan saya dan Wendy sangat gembira," kata Syafiq.

Momentum yang baik akan dibawa ke Sukan SEA Filipina, dengan Malaysia disasarkan untuk terus mendominasi di Pusat Akuatik New Clark City.

"Terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan dalam saingan kali ini. Saya berasa lega kerana melakukannya di sini untuk menjadi peringatan menjelang saingan Sukan SEA nanti," kata Wendy.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen