Terjun Grand Prix FINA: Syafiq, Tze Liang pamer aksi cemerlang

Oleh Staff Writer 15 November 2019 419
Terjun Grand Prix FINA: Syafiq, Tze Liang pamer aksi cemerlang
Dua penerjun negara, Muhd Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang, menampilkan aksi cemerlang bagi menempah slot ke saingan separuh akhir Kejohanan Terjun Grand Prix FINA dalam acara 3 meter papan anjal individu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Selepas enam terjunan, 12 peserta lolos ke pusingan separuh akhir yang berlangsung sebelah petang ini.

Tze Liang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 385.95 mata, ketinggalan 29 mata kepada pendahulu saingan, Miao Zhanming dari China, manakala penerjun Switzerland, Jonathan Suckow di tempat kedua (387.30 mata)

Syafiq pula melengkapkan 12 peserta ke pusingan separuh akhir dengan 329.05 mata dan bertekad untuk memperbaiki terjunan dalam misi memburu slot ke pusingan akhir.

"Dalam pusingan kelayakan ini, saya bermula dengan terjunan yang konsisten, namun melakukan kesilapan dalam terjunan terakhir. Saya berharap dapat berada dalam kelompok enam peserta untuk melangkah ke final," kata Syafiq.

"Saya akan berusaha untuk memberikan tumpuan bagi setiap terjunan untuk mengurangkan kesilapan dalam separuh akhir nanti."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen