Terjun Piala Asia: Brooker cari jalan atasi gemuruh anak buah 

Oleh Staff Writer 9 September 2019 314
Terjun Piala Asia: Brooker cari jalan atasi gemuruh anak buah 
Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, tetap bangga dengan prestasi skuad negara dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 yang berakhir malam tadi dengan Malaysia memungut enam pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Skuad terjun negara bermula baik dalam saingan hari pertama kejohanan apabila merangkul tiga emas dan dua perak menerusi acara 1 meter papan anjal lelaki, 3m papan anjal seirama lelaki dan 3m papan anjal seirama wanita.

Pada hari kedua pula, skuad terjun negara dilanda kejutan apabila gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee terpaksa menarik diri daripada acara 10m platform seirama wanita berikutan kecederaan belakang yang dialami Pandelela.

Sementara itu, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang kempunan untuk meraih tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila gagal mengungguli acara 3m papan anjal lelaki.

Bagaimanapun, hari terakhir pertandingan menyaksikan skuad negara kembali bangkit apabila Nur Dhabitah Sabri meraih slot dalam temasya Tokyo 2020 menerusi acara 3m papan anjal wanita sebelum memungut emas terakhir buat negara melalui acara 3m papan anjal seirama campuran di samping gandingannya, Muhammad Syafiq Puteh.

"Kebanyakan atlet mengalami gemuruh ketika melakukan persembahan.

"Mereka berlatih dengan baik, mampu beraksi baik dalam latihan kerana tanpa tekanan tetapi dalam kejohanan, mereka mula berfikir terlalu banyak selain daripada apa yang mereka mampu kawal ketika melakukan terjunan," kata jurulatih dari Australia itu. 

Dhabitah merupakan penerjun keempat negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik tahun depan untuk menyusuli jejak Pandelela, Mun Yee dan Wendy Ng. 

"Ada dua terjunan yang saya fikir (sepatutnya) boleh buat dengan lebih baik lagi -- terjunan kedua dan ketiga. 

"Kejohanan ini sangat penting, mahu atau tidak saya perlu hadapinya. Memang tidak dinafikan saya sangat gementar," kata Dhabitah. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen